Lagenda dan Transformasi Kuih Bulan
Kuih Bulan sangat sesuai diminum bersama teh cina.
Kuih bulan amat sinonim dengan perayaan Pesta Tanglung. Perayaan ini akan disambut dengan kuih bulan kerana kuih ini merupakan salah satu hidangan istimewa pada hari tersebut. Kuih bulan tradisional diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, ataupun kuning telur masin dan kuih ini akan dibakar menggunakan ketuhar.
Ramai yang mungkin tidak tahu cerita disebalik kuih yang amat popular ini. Terdapat pelbagai versi lagenda Masyarakat Cina mengenai kuih bulan. Salah satu asal usul kisah kuih ini bermula sewaktu Negara China ditakluki oleh Puak Mongolia. Pada waktu itu, Puak Mongolia ini adalah sangat kuat dan kejam. Undang-undang yang tidak munasabah dan pelik telah dikenakan ke atas rakyat Cina. Undang-undang tersebut menyatakan bahawa tidak dibenarkan seorang pun penduduk China untuk memiliki, walaupun hanya satu barangan yang pada tanggapan kerajaan boleh mengancam atau mengugat kedudukan kerajaan Mongolia.
Contoh yang paling jelas ialah larangan ke atas penduduk untuk menyimpan pisau. Mereka terpaksa menggunakan sebilah pisau yang diikat di sebuah tempat awam supaya dapat digunakan beramai-ramai untuk pelbagai tujuan. Oleh kerana kekejaman puak Mongolia, rakyat Cina bersepakat untuk memberontak. Pemberontakan ini adalah di bawah pimpinan Xhu Yuan Zhang dan Liu Bo Wen serta pengikut mereka. Kuih bulan telah digunakan sebagai alat sebaran maklumat. Ini adalah sebahagian daripada strategi mereka untuk menggulingkan kerajaan Mongolia.
Mereka telah menyelitkan sepucuk nota menyeru rakyat untuk bangkit menggulingkan kerajaan pada malam 15 haribulan, iaitu bulan kelapan dalam kalendar lunar. Nota tersebut diselitkan ke dalam kuih bulan yang dijual secara meluas di pasaran pada ketika itu. Di tengah-tengah kuih tersebut juga telah diletakkan pesanan yang menerangkan strategi pemberontakan. Akhirnya, pemberontakan itu berjaya menjatuhkan pemerintahan Puak Mongol (Dinasti Yuan).
Maka, sejak dari hari tersebut, kuih bulan bukan sekadar menjadi makanan tradisi, ia juga melambangkan nilai dan simbol memperjuangkan keadilan dalam menentang kezaliman. Hinggalah ke hari ini, peristiwa tersebut diperingati dengan mengadakan pesta kuih bulan dan tanglung.
Selain itu, satu lagi versi popular hikayat kuih bulan adalah untuk mengingati jasa permaisuri yang bernama Chang Er, yang mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan rakyat jelata daripada hidup sengsara. Chang Er merupakan seorang permaisuri yang sangat prihatin terhadap rakyatnya, tetapi bersuamikan raja yang sangat zalim. Kezaliman raja tersebut mengakibatkan rakyatnya hidup menderita.
Pada suatu hari, raja tersebut mengarahkan semua rakyatnya mencari ubat yang membolehkan baginda hidup buat selama-lamanya, walaupun ketika itu kebanyakan rakyatnya hidup dalam kebuluran. Akhirnya, seorang rakyat menyembahkan sebotol ubat kepada baginda dan mengatakan bahawa ubat itu boleh memanjangkan hayat raja tersebut untuk selama-lamanya. Apabila raja tersebut menunjukkan ubat itu kepada Chang Er, permaisuri berasa sangat bimbang akan kehidupan rakyat kerana jika raja itu terus memerintah untuk selama-lamanya, rakyatnya juga akan menderita tanpa penghujungnya.
Maka, Chang Er mencuri ubat tersebut di bilik raja dan permaisuri telah meminum ubat tersebut. Setelah itu, badan permaisuri menjadi semakin ringan dan seterusnya terbang ke arah bulan. Rakyat jelata yang berasa terharu dengan tindakan permaisuri, mula menyembah bulan pada setiap 15 Ogos mengikut kalendar lunar kerana mereka percaya bahawa Chang Er yang banyak berjasa itu menetap di bulan.
Namun, perubahan zaman telah mengubah amalan merayakan Perayaan Kuih Bulan. Perayaan ini tidak hanya terhad kepada menyembah bulan. Sebaliknya, hari tersebut juga menjadi tarikh simbolik untuk seisi keluarga berkumpul. Pada hari tersebut, semua ahli keluarga akan berkumpul untuk makan malam bersama-sama.
Selepas makan malam, sesetengah keluarga akan menyembah bulan atau mengadakan jamuan ringan di halaman rumah. Selain kuih bulan, buah-buahan seperti buah limau, kuaci, dan minuman teh Cina turut disediakan untuk menjamu selera. Mereka juga mengamalkan tradisi memasang tanglung atau lilin di halaman rumah. Selain berkumpul bersama-sama dengan sanak-saudara, mereka juga akan menjemput rakan untuk memeriahkan lagi jamuan perayaan ini.
Eksperimen resipi telah mencetus pelbagai variasi penyediaan kuih adunan tepung tersebut pada masa kini. Antara generasi baru kuih bulan yang popular adalah seperti perasa durian, coklat, keju, dan cappuccino. Namun terdapat juga kuih bulan yang mengalami transformasi ekstrem kepada versi-versi yang lebih kreatif seperti kuih bulan jeli, kuih bulan Bing Pei (sejuk), kuih bulan aiskrim dan kuih bulan coklat serta kuih bulan Contemporary dengan kulit perisa coklat berintikan blackcurrant dan coklat cip serta kulit perisa kopi dengan inti buah berangan .
Kuih Bulan merupakan sejenis kuih yang sangat istimewa. Ianya bukan sahaja merupakan makanan tradisional Masyarakat Cina tetapi mempunyai sejarah yang diterapkan berzaman-zaman. Walaupun zaman sudah berbeza, namun Pesta Kuih Bulan dan lagenda disebaliknya tetap menjadi penyatu bagi orang-orang Cina untuk menjalin hubungan akrab antara anggota keluarga dan sanak saudara serta berdoa memohon restu dan nasib yang baik.
Kueh Bulan Tradisional yang berintikan kuning telur masin
Memasang Tanglung di hadapan rumah.
没有评论:
发表评论